GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Sebarang program berbuka puasa, moreh mahupun bersahur tidak dibenarkan di semua masjid serta surau di negeri ini sepanjang Ramadan ini.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Mat Azmi Arshad berkata, larangan berkenaan dibuat bagi membantu kerajaan membendung penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, jemaah hanya dibenarkan berbuka puasa, moreh serta bersahur dengan makanan berbungkus dan tidak membabitkan jumlah yang ramai.

"Garis panduan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti sepanjang Ramadan termasuk majlis berbuka puasa sudah diedarkan kepada jawatankuasa masjid dan surau di seluruh negeri.

"Mereka diminta menyediakan kurma dan air mineral bagi membolehkan jemaah yang datang awal dapat menunaikan solat Maghrib berjemaah selepas berbuka puasa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mat Azmi berkata, sebelum berlaku penularan pandemik, menjadi kebiasaannya bagi umat Islam di negeri ini mengadakan majlis berbuka puasa membabitkan penduduk kampung.

"Mereka akan mengadakan gotong-royong menyediakan masakan untuk berbuka puasa, namun aktiviti itu dilarang berikutan penularan pandemik Covid-19, di seluruh negara sejak Mac tahun lalu.

"Semua jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini diminta sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi membantu kerajaan membendung penularan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 7:39 PM