SAI Segar menyampaikan sumbangan  kepada golongan susah bagi meringankan beban mereka yang memerlukan. FOTO Mohd Khidir Zakaria
SAI Segar menyampaikan sumbangan kepada golongan susah bagi meringankan beban mereka yang memerlukan. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Bukan hanya sumbangan makanan kering melalui kaedah `foodbank' malah bantuan anak ayam kampung diturut disedekahkan kepada golongan miskin.

Pengerusi Baba Sairam Port Dickson, Sai Segar berkata, bantuan 'foodbank' itu disalurkan kepada semua bangsa tanpa mengira latar belakang di pejabatnya di Jalan Pasar, Port Dickson di sini.

"Sesiapa sahaja boleh datang ke sini dan mengambil barangan makanan harian dengan hanya perlu menulis nama dan alamat sebagai rujukan.

"Saya turut menyumbang kerusi roda bagi mereka yang memerlukan bagi memudahkan pergerakan. Antara penerima adalah ketua keluarga yang kudung kedua-dua belah kakinya akibat kencing manis.

"Golongan susah dan hilang pekerjaan boleh datang dan ambil sahaja barangan makanan harian yang kami sediakan dalam bungkusan kotak selain anak ayam untuk dibela," katanya tadi.

Pekerja estet, R Suresh, 36, berkata, dia teruja selepas mendapat tahu ada ada individu menyalurkan bantuan 'foodbank' secara terbuka.

"Selain barangan dapur, mereka turut menyumbang 20 ekor anak ayam kampung untuk diternak dan dijadikan bekalan makanan akan datang.

"Terima kasih kepada penyumbang (Sai Segar) kerana secara tidak langsung sumbangan ini dapat membantu meringankan beban individu hilang pekerjaan akibat Covid-19," katanya.

Bagi penerima, Yee Nam, 34, bantuan ini benar-benar dihargai kerana dapat meringankan beban berikutan gaji bekerja di kebun pisang sekadar cukup makan.

"Saya perlu menyara kedua orang tua yang sudah uzur dan tinggal di Thazan Estat di Permatang Pasir, Port Dickson," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 7:10 PM