Zaid Salim


Hulu Terengganu: Berehat di tepi jalan, surau atau masjid mahupun bawah pokok menjadi rutin bagi pekerja khidmat penghantaran untuk melepaskan penat berikutan ketiadaan tempat rehat khusus.

Menyedari keperluan buat golongan terbabit, pusat sehenti dikenali sebagai Prihatin Delivery Centre (PDC) diwujudkan di daerah ini sekali gus menjadi yang pertama di negara ini.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid berkata, atas dasar prihatin, pihaknya mewujudkan PDC untuk pekerja khidmat penghantaran bagi membolehkan mereka mempunyai tempat berehat.

Menurutnya, pusat sehenti berkenaan mempunyai pelbagai kemudahan termasuk ruang rehat, surau, tandas mahupun bilik.

"Sebelum ini kita lihat mereka terpaksa berehat di tepi jalan, di wakaf, surau atau masjid, di bawah pokok dan di merata tempat. Malah, dimaklumkan ada yang pernah dihalau oleh pengurusan surau.

"Kita tidak mahu ini berlaku terutama menjelang Ramadan ini. Lagipun 'delivery rider' ini juga memainkan peranan penting terutama sepanjang kita berhadapan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

"Mereka berpanas dan berhujan untuk menghantar makanan dan barangan dipesan oleh pelanggan sehingga pintu rumah," katanya pada majlis perasmian PDC di bangunan Majlis Belia Daerah Hulu Terengganu (MBDHT), di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Hulu Terengganu, Yusof Mat Nor.

Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, pusat sehenti itu sebagai tanda penghargaan terhadap golongan berkenaan dan berharap ia dapat dimanfaatkan sebaiknya.

Pada majlis itu, Rosol turut menyerahkan bantuan baucer petrol berjumlah RM500 kepada penunggang khidmat penghantaran di daerah berkenaan.

Sementara itu, penghantar barang, Fatin Nur Dini Mazland, 26, dari Felda Bukit Bading, di sini, berkata pembinaan PDC itu sangat baik terutama untuk kegunaan pada Ramadan ini.

Katanya, sekurang-kurangnya mereka ada tempat yang selesa untuk berbuka puasa sekiranya tidak sempat melakukannya di rumah.

"Saya pernah merasai pengalaman dihalau dari surau ketika menumpang rehat sebentar selepas penat menghantar makanan. Sedih hanya Allah saja yang tahu.

"Alhamdulillah, kini kami ada tempat untuk berehat dan menunaikan solat. PDC ini sangat selesa, bersih dan yang penting lengkap dengan kemudahan diperlukan," katanya.

Rosol menantangani plak perasmian Prihatin Delivery Centre di bangunan Majlis Belia Daerah Hulu Terengganu. FOTOZAID SALIM
Rosol menantangani plak perasmian Prihatin Delivery Centre di bangunan Majlis Belia Daerah Hulu Terengganu. FOTOZAID SALIM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 6:50 PM