DATUK Masidi Manjun. FOTO Arkib NSTP
DATUK Masidi Manjun. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menyarankan rakyat di negeri ini supaya semua majlis sosial yang dianjurkan harus dilaksanakan secara sederhana atau menangguhkannya bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata peringatan terbabit diberikan setelah mengambil kira situasi di mana peningkatan kes positif Covid-19 semakin membimbangkan.

"Disebabkan itu, kerajaan negeri memberi peringatan kepada masyarakat atau individu yang mengadakan majlis sosial dan keramaian agar memberi kerjasama dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kita juga menyarankan supaya majlis sosial ini diadakan secara sederhana atau ditangguhkan buat sementara waktu serta majlis sosial tidak dibenarkan diadakan di daerah di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Bagi masyarakat selain di daerah yang dikuatkuasakan PKP dan PKPD, kerajaan negeri menggalakkan pendaftaran majlis menerusi aplikasi Sabah Trace untuk memudahkan pemantauan SOP oleh pihak penguatkuasa.

"Pihak penguatkuasa akan mengambil tindakan tegas dengan mengenakan kompaun sehingga RM10,000 kepada sesiapa yang didapati melanggar SOP yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata jumlah kes harian Covid-19 semalam mencatatkan kes sebanyak tiga angka sejak dua hari lepas.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 semalam adalah sebanyak 131 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 55,670 kes dan tiada kes kematian direkodkan.

"Jumlah pesakit Covid-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital seramai 70 menjadikan jumlah kumulatif 54,481 orang.

"Seramai 688 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 290 orang di hospital dan 398 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam," katanya.

Mengulas mengenai statistik vaksinasi di Sabah, Masidi berkata setakat ini seramai 891 orang sudah menerima suntikan vaksin harian dos pertama menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 48,986 orang.

"Bagi dos kedua vaksin Pfizer BioNTech, seramai 1,133 orang menerima suntikan semalam menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 39,606 orang.

"Selain itu, bilangan pendaftaran penerima vaksin hari ini sejumlah 4,351 menjadikan jumlah kumulatif yang mendaftar setakat ini sebanyak 394,989," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 8:30 AM