LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Polis menahan pasangan kekasih di dua lokasi berasingan di daerah ini susulan penemuan mayat bayi lelaki di belakang perhentian bas Kawasan Perindustrian Batu 22, Ijok, 6 April lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, lelaki dan perempuan berusia 20 tahun itu ditahan di Sungai Buloh dan Ijok, masing-masing pada 5 petang, semalam.

Beliau berkata, tangkapan dibuat berdasarkan maklumat dan risikan yang dijalankan.

"Kedua-dua tangkapan adalah pasangan kekasih. Mereka bekerja sebagai jurujual di Sungai Buloh dan Ijok.

"Tangkapan dibuat berdasarkan sedikit petunjuk yang ditinggalkan bersama mayat bayi terbabit," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Ambia berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku melahirkan bayi lelaki itu di tandas rumahnya di Ijok.

"Selepas melahirkan, bayi itu tidak bergerak menyebabkan suspek panik dan meninggalkannya dalam keadaan tidak bernyawa di perhentian bas itu.

"Suspek menetap bersama ibu bapanya. Mereka langsung tidak mengetahui suspek mengandung dan melahirkan bayi," katanya.

Mohd Ambia berkata, suspek akan dibawa ke Hospital Klang untuk menerima rawatan.

Justeru, beliau berkata, kedua-dua suspek akan dibawa ke hadapan Majistret untuk permohonan reman pada 10 April ini.

Media sebelum ini melaporkan mayat bayi lelaki ditemui di dalam kotak oleh orang awam di belakang perhentian bas terbabit.

Berita berkaitan:

  • Mayat bayi lelaki ditemukan dalam kotak
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 12:15 AM