DUA pegawai JIM ditahan reman tujuh hari bermula di Mahkamah Putrajaya hari ini. FOTO Ihsan SPRM.
DUA pegawai JIM ditahan reman tujuh hari bermula di Mahkamah Putrajaya hari ini. FOTO Ihsan SPRM.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Dua pegawai Jabatan Imigresen (JIM) direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu yang ditumpaskan Selasa lalu.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman sehingga 15 April ini selepas mendengar permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan enam individu termasuk dua pegawai JIM ditahan secara berasingan di Kuala Lumpur, semalam.

Dua pegawai JIM itu ditahan kerana disyaki bersekongkol membantu sindiket terbabit menjalankan kegiatan menggodam sistem berkenaan serta menerima rasuah sebagai habuan bersubahat dalam kegiatan itu.

Turut ditahan empat pekerja teknikal syarikat pembekal sistem dan kesemuanya berusia antara 34 hingga 42 tahun.

Sumber dipetik berkata, empat pekerja teknikal itu dipercayai bertanggungjawab memasang peranti dan perisian bagi tujuan menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Media sebelum ini melaporkan sindiket pengeluaran PLKS palsu, tumpas apabila lima individu termasuk seorang bergelar Datuk, ditahan dalam operasi besar-besaran di 22 lokasi sekitar Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Operasi SPRM dengan kerjasama Imigresen turut merungkai kegiatan sindiket itu yang mengakibatkan ketirisan ratusan juta ringgit hasil kepada kerajaan yang sepatutnya diperoleh daripada levi pekerja asing.

Berikutan itu, sebanyak 147 akaun meliputi 30 individu dan 11 syarikat dengan nilai berjumlah RM9.98 juta dibekukan.

Selain itu, 30 unit hartanah dengan anggaran nilai berjumlah RM11.87 juta dan 66 kenderaan bernilai RM13.69 juta, disita serta dibekukan.

Berita berkaitan:

  • 6 'orang dalam' godam sistem JIM ditahan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 4:25 PM