Borang rentas negeri kosong dengan tandangan Penolong Ketua Balai Seksyen 6 tular di media sosial hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Borang rentas negeri kosong dengan tandangan Penolong Ketua Balai Seksyen 6 tular di media sosial hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Polis membuka kertas siasatan berhubung sekeping borang rentas negeri kosong dengan tandatangan Penolong Ketua Balai Polis Seksyen 6 yang tular di media sosial, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay anak Embol dalam kenyataan berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

"Hari ini tular borang rentas negeri Balai Polis Seksyen 6 dengan tandatangan dan bercop Penolong Ketua Balai.

"Siasatan awal mendapati terdapat pemalsuan tandatangan milik Penolong Ketua Balai, Sarjan Mejar Mohd Fadzli Ali dan satu kertas siasatan dibuka," katanya.

Terdahulu, media melaporkan borang rentas negeri kosong dengan tandatangan Ketua Balai Polis Chukai, Kemaman Terengganu tular di media sosial.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Hanyan Ramlan menafikan wujud prosedur operasi standard (SOP) baharu kononnya borang rentas negeri diluluskan dengan tandatangan pegawai polis terlebih dulu sebelum pemohon mengisi borang berkenaan.

Selain itu, Hanyan memaklumkan siasatan awal mendapati tandatangan milik Inspektor Mohamad Ramizan Ramli pada borang berkenaan dipalsukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 10:40 PM