Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berucap ketika majlis pelancaran Projek National Integrated Immigration System (NIIse) di Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berucap ketika majlis pelancaran Projek National Integrated Immigration System (NIIse) di Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melancarkan Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bagi menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) yang sudah beroperasi lebih 20 tahun.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan meluluskan peruntukan lebih RM1 billion untuk membangunkan NIISe supaya sistem imigresen negara kekal relevan.

Katanya, ia bukan sahaja termasuk dari aspek sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tetapi juga aspek kedaulatan dan keselamatan negara.

"KDN sedar tahap keselamatan adalah agenda utama kerajaan dan kementerian bertanggungjawab bagi memastikan semua rakyat dan penduduk merasakan benar-benar selamat untuk tinggal dalam negara.

"Perkara utama yang harus dipertingkatkan adalah kawalan di pintu-pintu masuk negara bagi memastikan setiap kemasukan dalam negara dipastikan lulus tapisan dan benar-benar layak untuk masuk," katanya kepada media selepas merasmikan program berkenaan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Hamzah berkata, sistem imigresen sedia ada iaitu myIMMs perlu digantikan dengan sebuah sistem yang lebih canggih, bersepadu dan holistik yang dilengkapi dengan teknologi terkini seperti Artificial Intelligence (AI), Internet Of Things (IOT) dan Big Data Analytics (BDA).

"Syarikat IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd yang akan membangunkan sistem NIISe ini bersama KDN dan badan-badan bebas yang lain dalam tempoh 54 bulan akan datang.

"NIISe dijangka dapat beroperasi sepenuhnya pada 2024. Saya yakin dengan pelaksanaan sistem baharu ini, perkhidmatan imigresen akan terus diperkasakan bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara dapat dipelihara," katanya.

Beliau berkata, sistem NIISe juga akan memodenkan perkhidmatan Jabatan Imigresen melalui aplikasi dengan ciri-ciri canggih dan terkini.

"NIISe juga akan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti 'multi-factor authentification' yang memerlukan kombinasi kata laluan dan biometrik pengguna sebelum kakitangan jabatan atau kementerian dibenarkan mengakses sistem.

"Sebarang aktiviti atas talian yang tidak teratur dan mencurigakan akan dapat dipantau secara menyeluruh melalui 'National Immigration Command Centre' ini dan tindakan pencegahan dapat diambil lebih cepat dan berkesan berbanding sistem sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 6:14 PM