Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nuraliawati Sabri


Melaka: Polis Melaka merekodkan sejumlah 259 kes membabitkan penipuan atas talian dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 261 tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Negeri Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, walaupun pelbagai usaha dan advokasi dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) namun masyarakat masih lagi mudah terpedaya.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,049 kes dilaporkan membabitkan jumlah kerugian RM34,740, 562.56.

"Ia membabitkan penipuan antaranya seperti African Scam, belian dalam talian serta pinjaman tidak wujud.

"Untuk tempoh tiga bulan tahun ini, kerugian yang direkodkan daripada 259 kes berjumlah RM8,484,461.35 berbanding RM9,411,100.19 untuk tempoh sama tahun lalu.

"Antara jenayah tipu yang merekodkan kes tertinggi adalah penipuan membabitkan belian dalam talian dengan 64 kes, lpenipuan nombor TAC dan sistem pesanan ringkas (SMS) (53 kes), pinjaman tidak wujud sebanyak 46 kes serta pelaburan (35)," katanya selepas merasmikan Townhall Program Pencegahan Jenayah Dan Lindungi Diri Dari Menjadi Mangsa Jenayah Penipuan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, tadi.

Mengulas lanjut beliau berkata, untuk tempoh suku pertama tahun ini juga seramai 206 individu berjaya dikesan dan ditangkap bagi membantu siasatan berbanding 88 individu untuk tempoh sama tahun lalu.

"Mangsa pula tergolong dalam beberapa peringkat umur contohnya seperti tahun lalu, ramai terpedaya antara lingkungan umur 30 hingga 40 tahun manakala untuk tahun ini berusia antara 20 hingga 30 -an.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 6:08 PM