Rizalman (tengah) menyerahkan komputer riba kepada  pelajar ACIS dari kalangan B40 di Hotel UiTM. FOTO IHSAN UiTM
Rizalman (tengah) menyerahkan komputer riba kepada pelajar ACIS dari kalangan B40 di Hotel UiTM. FOTO IHSAN UiTM
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seramai 36 penuntut Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) membabitkan golongan B40 menerima komputer riba sumbangan Yayasan Rizalman Ibrahim (Yayasan RI).

Penyerahan berkenaan disempurnakan Datuk Rizalman Ibrahim selaku Pengerusi Yayasan RI yang juga Ahli Lembaga Pengarah UiTM.

Komputer riba itu diberi khusus untuk kegunaan penuntut sepanjang pengajian sekaligus memudahkan pengajian terutama dalam situasi kuliah dijalankan secara Open Distance Learning (ODL).

Rizalman berkata, beliau dan Yayasan RI sentiasa berhasrat untuk membantu pelajar UiTM yang kurang bernasib baik terutama golongan terkesan susulan pandemik ini supaya pembelajaran mereka dapat diteruskan sebaiknya.

"Inilah masanya saya berbakti kepada pelajar UiTM yang memerlukan, apatah lagi selepas saya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.

"Saya berhasrat untuk mendekati dan mengetahui masalah dihadapi penuntut UiTM dan membantu mereka sebaik mungkin.

"Gunakanlah komputer riba ini dengan sebaiknya. Sekarang kamu semua mungkin di tahap B40 tapi suatu hari kamu adalah golongan yang akan memberi dan bukan lagi menerima," katanya dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Komputer Riba kepada Pelajar ACIS di Hotel UiTM, di sini, tadi.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Industri, Komuniti dan Rangkaian Alumni (ICAN) UiTM, Datuk Dr Rahmat Mohamad dan Dekan ACIS, Prof Madya Dr Nurhidayah Muhammad Hashim.

Dalam pada itu, penuntut jurusan Muamalat, Nurul Jannah Awang Ghani, 22, melahirkan kesyukuran apabila menjadi penerima sumbangan berkenaan tambahan pula, komputer riba miliknya sudah rosak.

"Alhamdulillah, rezeki saya untuk terima komputer riba daripada Yayasan RI. Terima kasih Datuk Rizalman.

"Sebenarnya komputer saya rosak dan untuk beli yang baharu mungkin mengambil masa kerana kekangan kewangan. Justeru saya amat bersyukur kerana terpilih," katanya yang berasal dari Kuala Terengganu itu.

Bagi penuntut jurusan Pengurusan Industri Halal, Muhd Tamim Fakhri Misni, 22 pula, komputer riba baharu itu akan melancarkan lagi pembelajarannya yang berlangsung secara atas talian.

"Sebelum ini, saya menggunakan komputer riba yang pernah digunakan oleh dua abang saya.

"InsyaAllah dengan komputer baru ini, saya akan lebih bersemangat untuk belajar walaupun tidak dapat hadir ke kampus. Terima kasih Yayasan RI dan pensyarah kerana memilih saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 3:59 PM