GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Gua Musang: Polis menahan 15 warga Myanmar selepas didapati cuba merentas negeri tanpa kebenaran dan menggunakan surat kebenaran palsu dalam sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Tanah Puteh, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, kesemua warga Myanmar termasuk dua wanita itu ditahan ketika menaiki bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Rantau Panjang, Kelantan.

"Warga asing terbabit dalam keadaan mencurigakan sebelum mereka diminta menunjukkan surat kebenaran merentas negeri.

"Lima daripada mereka menunjukkan surat kebenaran palsu, manakala 10 lagi tidak mempunyai surat kebenaran.

"Kesemua warga asing itu juga mempunyai dokumen perjalanan yang tamat tempoh dan dipercayai cuba pulang ke negara asal melalui sempadan di Rantau Panjang untuk merentas ke Thailand," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua warga asing yang berusia antara 20 hingga 50 tahun itu dibawa ke IPD Gua Musang untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Mengulas lanjut, Sik berkata, ini kes pertama membabitkan penahanan warga asing yang cuba merentas negeri menggunakan surat kebenaran palsu di daerah ini.

Justeru, katanya, polis akan mempertingkatkan pemeriksaan kenderaan yang melalui Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan Lojing-Gua Musang bagi mengesan individu yang merentas negeri tanpa surat kebenaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 2:26 PM