FOTO hiasan
FOTO hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia akan mengkaji penggunaan vaksin AstraZeneca Covid-19 di negara ini berikutan hasil dapatan Agensi Perubatan Eropah (EMA) bahawa pembekuan darah luar biasa berlaku dengan platelet darah rendah, harus disenaraikan sebagai kesan sampingan vaksin yang sangat jarang berlaku.

Menteri Penyelaras program imunisasi itu Khairy Jamaluddin berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan mempertimbangkan perkara itu.

"Kita mengambil maklum pengumuman EMA mengenai vaksin AstraZeneca. JKJAV akan mempertimbangkan perkara itu dan memutuskan sama ada kita akan terus menggunakan AZ (AstraZeneca) dalam portfolio vaksin negara kita. Keselamatan adalah perkara paling utama," katanya dalam Tweeternya hari ini.

Semalam, Khairy berkata, Malaysia masih mempunyai masa untuk memutuskan sama ada akan meneruskan dengan pengggunaan vaksin AstraZeneca, kerana ia hanya akan tiba dari fasiliti COVAX pada Mei, nanti.

Jawatankuasa keselamatan EMA (PRAC), semalam membuat kesimpulan mengenai dapatan kajian mereka terhadap vaksin AstraZeneca dan mengesahkan bahawa manfaat vaksin itu dalam mencegah Covid-19 secara keseluruhan melebihi, risiko kesan sampingannya.

Agensi Kesatuan Eropah (EU) itu mengingatkan para profesional penjagaan kesihatan dan penerima vaksin supaya terus berwaspada mengenai kemungkinan adanya kes pembekuan darah yang sangat jarang berlaku dan kombinasi kadar platelet darah rendah yang terjadi dalam tempoh dua minggu selepas divaksinasi.

"Setakat ini, sebahagian besar kes yang dilaporkan berlaku pada wanita berusia bawah 60 tahun dalam tempoh dua minggu menerima vaksin. Berdasarkan bukti yang ada kini, faktor risiko tertentu belum dapat disahkan," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman webnya.

Jawatankuasa itu memaklumkan bahawa ia mengkaji 62 kes trombosis sinus vena serebrum dan 24 kes trombosis vena splanchnik yang dilaporkan dalam pangkalan data keselamatan ubat EU pada 22 Mac, dengan 25 juta orang menerima vaksin dan 18 daripada mereka maut.

PRAC juga mempertimbangkan semua bukti yang ada sekarang, termasuk nasihat daripada kumpulan pakar ad hoc.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 1:36 PM