PEGAWAI kanan Bahagian Logistik TLDM direman selama enam hari. FOTO Mary Victoria Dass
PEGAWAI kanan Bahagian Logistik TLDM direman selama enam hari. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Pegawai kanan Bahagian Logistik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berjumlah RM24,250.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Nur Izzaty Muhammad Zahari di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan pegawai berusia 36 tahun berkenaan kerana dipercayai membuat tuntutan palsu.

Suspek ditahan di Pejabat SPRM Johor pada 10 pagi semalam bagi membantu siasatan kes bersubahat dan memperakukan pesanan kerajaan seterusnya mengemukakan tuntutan palsu.

Ia berkaitan perkhidmatan mencetak beg kertas dan kain rentang kepada Markas KD Sultan Ismail, Pusat Latihan Perajurit Muda TLDM Tanjung Pengelih Mukim Pengerang, Kota Tinggi, yang berjumlah RM24,250 sedangkan pembekalan berkenaan tidak pernah dibuat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 11:21 AM