FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Polis menahan 15 warga asing yang merentas negeri dengan membawa surat kebenaran palsu di sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Tanah Putih, dekat sini, petang Isnin lalu.

Warga Myanmar terdiri daripada 13 lelaki dan dua wanita itu ditahan kira-kira 3 petang.

Ketika ditahan, mereka juga didapati memiliki dokumen perjalanan tamat tempoh.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, warga asing terbabit ditahan ketika menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Rantau Panjang.

"Mengikut siasatan awal, kesemua warga asing itu ingin pulang ke negara asal mereka melalui Kelantan sebelum ke Thailand," katanya.

Sik berkata, mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang untuk tindakan lanjut .

Bagaimanapun, katanya, bas ekspres yang turut membawa penumpang tempatan itu dibenar untuk meneruskan perjalanan ke destinasinya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/63, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, ia adalah kes pertama membabitkan warga asing membawa surat kebenaran palsu untuk merentas negeri melalui Jalan Kuala Lipis-Gua Musang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 9:21 AM