FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Izwan Abdullah

[email protected],my

Kota Kinabalu: Tiada Bazar Ramadan dibenarkan beroperasi di Sabah sepanjang Ramadan tahun ini yang bermula minggu depan.

Perkara itu dijelaskan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun dalam kenyataan media perkembangan harian Covid-19 Sabah, malam tadi.

Katanya, keputusan itu mengambil kira situasi semasa penularan Covid-19 di Sabah yang masih membimbangkan berikutan banyak kluster baharu berpunca daripada majlis sosial sejak kebelakangan ini.

"Memandangkan penyakit Covid-19 di Sabah masih dalam keadaan yang tidak stabil dan berlaku beberapa kluster akibat penganjuran majlis sosial dan keramaian, di samping tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang rendah, maka kerajaan negeri memutuskan untuk tidak membenarkan aktiviti bazar Ramadan tahun ini," katanya.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah berkata, semalam saja, sebanyak 60 kes baharu Covid-19 dikesan dengan Tawau kekal sebagai penyumbang tertinggi, iaitu sebanyak 41 kes.

Sehingga kini, katanya Sabah mencatat sebanyak 55,294 kumulatif kes, manakala seramai 54,297 orang kumulatif pesakit sembuh, termasuk 53 orang yang dibenarkan keluar hospital semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 7:54 AM