ANGGOTA polis cedera dilanggar dan dadah jenis heroin bersama sebotol cecair disyaki ketum dirampas.
ANGGOTA polis cedera dilanggar dan dadah jenis heroin bersama sebotol cecair disyaki ketum dirampas.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Anggota polis putus dua jari kaki kiri selepas dilanggar seorang penunggang motosikal ketika sedang bertugas di Lebuhraya Persekutuan, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.20 petang itu, anggota berkenaan sedang membuat rondaan cegah jenayah sebelum dilanggar suspek berusia 49 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek menemui dadah jenis heroin bersama sebotol cecair disyaki ketum.

"Hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Permohonan reman akan dibuat esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang dari lima tahun dan tidak kurang 10 kali sebatan.

Katanya, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

"Anggota berkenaan kini mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 11:02 PM