ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah kapal korek pasir. FOTO Nuraliawati Sabri
ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah kapal korek pasir. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri


Melaka: Sebuah kapal korek pasir yang berada di tepi Pantai Puteri, di sini, terbakar, hari ini dengan kepulan asap hitam jelas kelihatan dalam jarak dua kilometer.

Kejadian jam 5 petang itu berlaku berhampiran Pejabat Jabatan Laut Negeri.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5. 17 petang sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu dan sebuah jentera Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bersama 30 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba sudah marak selain kepulan asap hitam memenuhi bahagian kapal yang terbakar sebelum kerja pemadaman dijalankan pasukan bomba.

"Kami dimaklumkan kapal korek itu dalam proses untuk dilupuskan dan difahamkan ketika kejadian kerja-kerja kimpalan sedang dilakukan.

"Punca awal kebakaran dipercayai akibat kerja kimpalan, bagaimanapun siasatan lanjut akan dijalankan oleh pasukan forensik bomba yang akan hadir ke lokasi kejadian bagi mendapatkan punca sebenar kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Izwan Arief berkata, kebakaran dapat dikawal dalam tempoh 25 minit menggunakan semburan buih.

"Tiada sebarang kemalangan jiwa atau mangsa dilaporkan dan kebakaran membabitkan kira-kira 50 peratus bahagian kapal korek pasir berkenaan.

"Walaupun api sudah berjaya dipadamkan dan suhu sudah merekodkan bacaan stabil namun sehingga jam 8.15 malam tadi kami masih memantau menggunakan 'Thermal Imaging Camera', bagi mengelakkan kebakaran tercetus semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 9:53 PM