PAUL Yong (kanan) ketika tiba di mahkamah. FOTO Sharul Hafiz Zam
PAUL Yong (kanan) ketika tiba di mahkamah. FOTO Sharul Hafiz Zam
BERNAMA

Ipoh: Pegawai Perubatan di Bahagian Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini Dr Kate Lynn Ignatius berkata, tiada kesan kecederaan fizikal atau lebam ditemukan di badan mangsa kes rogol pembantu rumah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh Paul Yong Choo Kiong.

Manakala ujian kehamilan yang dilakukan juga adalah negatif.

"Daripada pemeriksaan fizikal, saya tidak menemui apa-apa kecederaan atau lebam pada pesakit," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata hasil pemeriksaan fizikal sahaja tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa mangsa dirogol kerana beliau pernah memeriksa pesakit lain yang tidak mengalami kecederaan pada tubuh badan tetapi disahkan telah dirogol.

Katanya mangsa kemudian dirujuk kepada pakar ginekologi di hospital sama untuk pemeriksaan lanjut.

Seorang lagi saksi, Mohd Ali Ahmad, 51, pemandu Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang berkhidmat dengan Yong, memberitahu mahkamah mangsa pernah memintanya untuk menghantar wanita itu ke Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur pada pagi 8 Julai 2019, iaitu sehari selepas kejadian rogol didakwa berlaku.

Namun beliau tidak berbuat demikian kerana sedang bertugas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 9:32 PM