ROSOL (tengah) bersama Jawahar (kanan) dan Che Hassan.
ROSOL (tengah) bersama Jawahar (kanan) dan Che Hassan.
Yusmizal Dolah Aling


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang dalam perancangan untuk mendaftarkan pengusaha bengkel membaik pulih kenderaan di seluruh negara dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan industri itu kepada pengguna.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat di kementeriannya hari ini.

Katanya, sudah sampai masanya industri bengkel mempunyai satu piawaian yang standard termasuk dari segi perkhidmatan mahu pun kebersihan.

"Kita menerima banyak aduan mengenai industri bengkel. Jadi kita bercadang untuk mendaftarkan mereka agar kita mempunyai data berkaitan pemain industri.

"Menerusi cara itu, kita dapat mengenal pasti sebarang masalah yang berlaku termasuk isu tuntutan, pembaikan dan barang ganti," katanya ketika menerima kunjungan Penaung Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Datuk Jawahar Ali Taib Khan dan Presiden PPMM Che Hassan Che Johan di pejabatnya di sini, hari ini.

Rosol berkata, dengan adanya data itu, kementeriannya dapat memastikan pengusaha bengkel menjaga kebersihan premis serta tidak membuang minyak terpakai sesuka hati.

Katanya, ia secara tidak langsung akan meningkatkan standard perkhidmatan bengkel di negara ini dan memberi manfaat kepada pengguna serta pengusaha.

Ditanya mengenai kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pengguna dengan kementeriannya, Rosol berkata, KPDNHEP mengalu-alukan kerjasama sebegitu bagi memastikan pengguna mempunyai saluran membuat aduan.

Katanya, ia adalah platform tambahan selain ruang yang disediakan kementerian untuk memudahkan masyarakat.

"Saya berterima kasih dengan kerjasama baik daripada NGO. Yang penting kita bersama-sama memartabatkan pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 8:36 PM