Pemasangan blok batu di Jalan Saujana Impian di Kajang yang sering menjadi lokasi kemalangan sejak bertahun lamanya ternyata melegakan penduduk.
Pemasangan blok batu di Jalan Saujana Impian di Kajang yang sering menjadi lokasi kemalangan sejak bertahun lamanya ternyata melegakan penduduk.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kajang: Pemasangan blok batu di Jalan Saujana Impian yang sering menjadi lokasi kemalangan sejak bertahun lamanya ternyata melegakan penduduk.

Pengerusi Badan Bertindak Kajang-Bypass Abdul Manaf Ramli berkata, walaupun untuk tempoh jangka pendek sekurang-kurangnya ia mampu mengurangkan risiko kemalangan yang berlaku hampir setiap minggu.

Katanya, selain blok batu, pihak berwajib juga memasang papan tanda dan lampu amaran selain garisan kuning bagi mengurangkan kelajuan.

"Setiap hari penduduk membahayakan nyawa melalui jalan berkenaan yang kini sudah menjadi sebahagian laluan utama Kuala Lumpur ke Seremban.

"Lebih 50,000 penduduk bergantung kepada jalan ini selain ratusan ribu kenderaan menggunakannya setiap hari," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, pendedahan Harian Metro sebelum ini memberi impak kepada tindakan susulan pihak berwajib bagi mengurangkan kemalangan.

Katanya, diharap untuk jangka masa panjang, struktur penghadang jalan kekal dan reka bentuk jalan ini dapat dibuat.

"Kami berharap jalan ini tidak lagi 'makan nyawa' pengguna jalan raya seperti yang sering berlaku.

"Penduduk juga mahu jalan ini bertuan kerana ia memudahkan proses penyelenggaraan dijalankan," katanya.

Sebelum ini, selekoh di Jalan Saujana Impian berhadapan pasar raya terkemuka sering menjadi lokasi kemalangan.

Terbaharu, kemalangan di lokasi sama meragut nyawa pasangan suami isteri apabila kereta dinaiki bertembung dengan van.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Kamarul Izlan Sulaiman berkata, pihaknya mula memasang blok batu dan tanda amaran di laluan berkenaan dua minggu lalu.

"Ini langkah awal untuk mengurangkan kemalangan dan diharap pengguna akan lebih berhati-hati.

"Status pemilik jalan ini juga dijangka akan diketahui dalam tempoh terdekat," katanya.

Berita berkaitan

Jalan taman perumahan dah macam 'lebuh raya' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 8:26 PM