FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis menyerahkan siasatan berhubung beberapa anggotanya yang merokok di sebuah premis makanan dipercayai di Pasir Puteh, di sini, yang tular di media sosial baru-baru ini kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya mengesahkan individu yang terpapar dalam gambar berkenaan adalah anggotanya dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Katanya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Pasir Puteh bagi merujuk perkara itu kepada KKM untuk siasatan dan tindakan susulan.

"Pada masa sama, tindakan siasatan tatatertib juga dibuat terhadap semua anggota terbabit bagi mengenal pasti sama ada (memang benar) terdapat sebarang pelanggaran tatatertib atau kod etika Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya ingin menegaskan kami sentiasa menjalankan amanah dengan adil, telus dan profesional yang mana semua anggota polis turut tertakluk kepada pematuhan undang-undang yang dikuatkuasakan di negara ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamed Nordin berkata, bagaimanapun kesemua anggota yang terpapar dalam gambar tular itu tidak berada dalam penugasan atau 'off-duty' iaitu selepas penugasan mereka selesai.

Terdahulu, gambar memperlihatkan empat anggota polis dalam keadaan memakai seragam tular di media sosial apabila sebahagian daripada mereka didapati merokok sewaktu duduk semeja di sebuah premis makanan.

Gambar terbabit dimuat naik pengguna media sosial seterusnya mendapat perhatian masyarakat umum apabila turut dikongsikan laman Facebook Public Health Malaysia.

Untuk rekod, pada awal 2019, kerajaan menetapkan individu yang ingin merokok di kedai makan dan restoran terbuka perlu berada lebih daripada tiga meter daripada bangunan premis terbabit.

Dengan penguatkuasaan peraturan itu, perokok yang ditahan di kawasan itu yang turut dikategorikan sebagai kawasan larangan merokok akan didenda RM10,000 atau boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 7:35 PM