Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap rakyat akan terus bersama-sama kerajaan mengharungi fasa pemulihan akibat pandemik Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi negara.

Beliau berkata selama ini kerajaan dan rakyat sudah berdepan dengan ancaman Covid-19 yang sehingga semalam, mencatatkan 353,329 kes jangkitan wabak tersebut.

"Walaupun jangkitan Covid-19 di Malaysia sudah mula menunjukkan trend penurunan, situasinya masih belum stabil," katanya dalam catatan di laman Facebooknya sempena Hari Kesihatan Sedunia yang disambut hari ini.

Muhyiddin berkata sehingga awal bulan ini, lebih 130 juta orang di seluruh dunia telah dijangkiti virus Covid-19 dan mencatatkan lebih 2.85 juta kematian.

Di Malaysia pula, katanya, 1,300 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan sehingga semalam.

Bersempena sambutan Hari Kesihatan Sedunia, Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih dan syabas kepada seluruh petugas barisan hadapan kesihatan atas usaha dan kerja keras tanpa jemu memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik terutamanya dalam situasi pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa komited dalam usaha memastikan seluruh rakyat Malaysia dan kumpulan bukan warganegara yang menetap di negara ini mendapat akses perkhidmatan kesihatan terbaik supaya mampu meneruskan kehidupan sempurna.

"Marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan diri dan berusaha mengamalkan gaya hidup sihat melalui pemakanan atau diet yang seimbang serta melakukan aktiviti riadah dengan lebih kerap," katanya.

Hari Kesihatan Sedunia disambut pada 7 April setiap tahun dan menandakan sambutan ulang tahun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang ditubuhkan secara rasmi pada 7 April 1948.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 7:32 PM