PEDANG samurai yang digunakan suspek membunuh rakan senegaranya selepas dituduh mengamalkan ilmu hitam. FOTO  MELVIN JONI
PEDANG samurai yang digunakan suspek membunuh rakan senegaranya selepas dituduh mengamalkan ilmu hitam. FOTO MELVIN JONI
Oleh Melvin Joni


Mukah: Berang selepas dituduh mengamalkan ilmu hitam, seorang lelaki warga Indonesia menetak rakan senegaranya menggunakan parang sehingga mati.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Jimmy Panyau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi tadi di rumah pekerja di Ladang Solar Green, di sini.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila kedua-dua mereka yang tinggal sebilik keluar bekerja, namun kemudian bertengkar apabila mangsa menuduh suspek mengamalkan ilmu hitam.

"Berlaku pertengkaran antara mereka dan semasa mangsa masuk ke dalam bilik, suspek mengekori dari arah belakang dengan memegang parang dan terus menetak di bahagian belakang tengkuk mangsa.

"Mangsa terjatuh ke lantai ruang tamu sebelum disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jimmy berkata, ketika kejadian, hanya suspek dan mangsa berada di tempat kejadian dan mereka bekerja meracun rumput di ladang berkenaan.

Katanya, mayat mangsa yang berusia 32 tahun dari Ntonggu, Indonesia dihantar ke bilik mayat Hospital Mukah untuk dibedah siasat manakala suspek berusia 31 tahun dari Paradowane, Indonesia ditahan.

Menurutnya, parang sepanjang 80 sentimer yang digunakan suspek turut dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 7:31 PM