Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu merampas 747,120 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama dalam dua serbuan berasingan, di sini, 31 Mac lalu.

Dalam serbuan pertama pada jam 1 pagi, JKDM merampas 508,000 batang (2,540 karton) rokok putih dianggarkan bernilai RM66,040 di pesisir pantai Lembah Bidong, Jalan Merang, dekat sini.

Sementara serbuan kedua pada 10.30 pagi, JKDM merampas 239,120 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama belum lulus kastam dianggarkan bernilai RM33,778.40 di sebuah rumah kedai di Kampung Pak Madah, Bukit Payung.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Sri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, duti serta nilai cukai rokok yang dirampas dalam kedua-dua serbuan berjumlah RM503,031.

Menurutnya, ketika serbuan pertama dijalankan, beberapa suspek sedang mengangkut rokok yang dibungkus dalam plastik hitam dari bot ke dalam lori di persisir pantai Lembah Bidong.

"Mereka sedang asyik memunggah rokok itu, bagaimanapun bertempiaran lari sebaik menyedari kehadiran kami.

"Memandangkan keadaan yang gelap, kami tidak pasti jumlah suspek yang terbabit dengan aktiviti itu.

"Rokok itu dipercayai dari luar negara dan dibawa dengan kapal sebelum berlabuh di tengah laut kemudian dibawa pula dengan bot kecil ke darat," katanya pada sidang media JKDM di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri, di sini, hari ini.

Abdul Latif berkata, dalam serbuan kedua pada hari sama, pihaknya menahan dua suspek warga tempatan iaitu seorang lelaki dan seorang wanita berusia 20 dan 43 tahun dipercayai pemilik premis berkenaan.

"Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Berdasarkan rekod, JKDM sudah merampas sebanyak 73,355,624 batang rokok yang belum lulus kastam sejak awal tahun hingga 31 Mac lalu, manakala rampasan keseluruhan rokok belum lulus kastam pada 2020 sebanyak 894.4 juta batang rokok pelbagai jenama," katanya.

Menurutnya, beliau berharap orang awam sentiasa memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 5:19 PM
Penolong Pengarah Kastam Terengganu bahagian Operasi, Zulhazmi Kasmini menunjukkan sebahagian jenis rokok seludup yang dirampas selepas sidang media di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Kastam Terengganu hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Penolong Pengarah Kastam Terengganu bahagian Operasi, Zulhazmi Kasmini menunjukkan sebahagian jenis rokok seludup yang dirampas selepas sidang media di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Kastam Terengganu hari ini. FOTO GHAZALI KORI