Laporan Portal Harian Metro
Laporan Portal Harian Metro
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Alat sulit lelaki Pakistan yang dicampak suspek selepas dipotong dalam kejadian di sini, Ahad lalu tidak ditemui.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol ketika dihubungi, memaklumkan kemaluan mangsa tidak dijumpai sehingga kini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, kemaluan mangsa berusia 34 tahun itu dicampak selepas dipotong sekumpulan lelaki pada 7.30 petang dalam kejadian di Tasik Alam Impian, Seksyen 35, di sini.

Rakan mangsa, Rizwan Ahmad memaklumkan bahawa, usaha mencari kemaluan mangsa oleh rakannya yang turut dibantu anggota polis tidak berhasil.

Dalam perkembangan berkaitan, Ramsay berkata, pihaknya sedang mengenal pasti dan seterunya memburu kumpulan terbabit.

Katanya, pihaknya percaya kumpulan itu terdiri daripada warga tempatan antara empat hingga enam orang.

Terdahulu, mangsa dilaporkan bersendirian sebelum dihampiri sekumpulan lelaki tempatan yang memaksanya melakukan ketuk ketampi.

Lelaki Pakistan itu akur dengan arahan berkenaan namun kemaluannya tetap dipotong suspek.

Mangsa dilaporkan tidak dapat melarikan diri daripada kumpulan itu kerana dipegang dengan kuat kumpulan terbabit.

Dia yang menahan kesakitan kemudiannya menghubungi rakannya mendapatkan bantuan sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran.

Berita berkaitan

Kemaluan dipotong selepas dipaksa ketuk ketampi

Polis giat buru suspek potong kemaluan warga Pakistan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 4:57 PM