Laporan Portal Harian Metro
Laporan Portal Harian Metro
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis sedang giat mengesan beberapa suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian memotong kemaluan seorang lelaki warga Pakistan di sini Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol ketika dihubungi berkata, usaha bagi mengenal pasti dan seterusnya mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian itu giat dijalankan pihaknya.

"Motif kejadian masih belum dikenal pasti dan polis masih meneruskan siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata atau lain lain objek yang merbahayakan," katanya.

Katanya, mangsa disahkan warga Pakistan manakala suspek pula dipercayai penduduk tempatan.

Menurutnya, mangsa masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan keadaannya dilaporkan stabil.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mangsa berdepan detik ngeri apabila kemaluannya dipotong sekumpulan lelaki tidak dikenali selepas dipaksa melakukan ketuk ketampi.

Rakan mangsa yang juga warganegara Pakistan, membuat laporan polis kelmarin dan menceritakan bagaimana insiden berkenaan terjadi.

Menurutnya, mangsa pada awalnya duduk bersantai berseorangan berhampiran Masjid Alam Impian pada malam Ahad lalu, sebelum didekati empat lelaki.

Suspek dikatakan mengarahkan mangsa melakukan ketuk ketampi sebelum kemaluan mangsa dipotong.

Berita berkaitan

Kemaluan dipotong selepas dipaksa ketuk ketampi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 3:49 PM