Laporan Portal Harian Metro
Laporan Portal Harian Metro
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Lima individu termasuk seorang bergelar Datuk direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret, Fatina Amyra Abdul Jalil terhadap lima individu berusia 33 hingga 43 tahun berkenaan.

Terdahulu, semua individu terbabit diringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di Mahkamah Shah Alam pada 9 pagi.

Semalam, Harian Metro melaporkan sindiket pengeluaran PLKS tumpas dengan penahanan lima individu terbabit.

Operasi SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dapat merungkai kegiatan sindiket itu yang menyebabkan ketirisan ratusan juta ringgit hasil kepada kerajaan yang sepatutnya diperoleh daripada levi pekerja asing.

Sumber berkata, semua individu berkenaan ditahan dalam operasi di 22 lokasi sekitar Kuala Lumpur sejak awal pagi. Semua mereka berusia antara 33 hingga 43 tahun ditahan hasil risikan SPRM dan JIM sejak setahun lalu.

"Sindiket ini dengan kerjasama 'orang dalam' dapat menggodam pangkalan data imigresen dengan memasang pemancar (transmiter) untuk membolehkan anggota sindiket menukar kata laluan pegawai imigresen dan seterusnya mencetak PLKS dari pusat operasi mereka di luar pejabat imigresen.

"Ini adalah pencerobohan ke dalam pangkalan data agensi kerajaan dan adalah isu kebocoran keselamatan yang sangat serius," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan tangkapan berkenaan dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Dalam perkembangan berkaitan, satu sidang media berkaitan kes itu dijadualkan berlangsung di ibu kota hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 12:42 PM