GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP

Murnaena Muhammad

Kuala Lumpur: Persatuan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) berharap warga pendidik diberi diutamakan pemberian vaksin bagi membantu mengekang peningkatan kluster Covid-19, terutama membabitkan institusi pendidikan.

Presidennya Mohd Azizee Hasan berkata, pemberian awal vaksin Covid-19 seharusnya tidak terhad kepada guru yang berisiko dan berusia, tetapi membabitkan semua warga pendidik.

"Dalam isu ini, iGuru menyokong supaya warga guru diutamakan untuk suntikan vaksin, termasuk juga staf sokongan sekolah.

"Suntikan ini juga seharusnya diperluaskan kepada sekolah swasta, sekolah agama rakyat dan tahfiz," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya yakin Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku dan mampu mengatasi perkara ini.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat 41 kluster Covid-19 institusi pendidikan direkodkan sejak 1 Januari sehingga 25 Mac lalu.

Daripada jumlah itu, 5 kluster pusat pengajian tinggi dilaporkan, 11 kluster sekolah menengah, 10 kluster prasekolah dan sekolah rendah, serta lima kluster yang membabitkan pusat tahfiz dan madrasah.

Dalam pada itu, Mohd Azizee menggesa ibu bapa bertanggungjawab memaklumkan kepada pihak sekolah jika berlaku penularan Covid-19 dalam kalangan ahli keluarga mahupun di tempat kerja.

Beliau berkata, kerjasama rapat ibu bapa dan guru dalam perkongsian maklumat cukup penting kerana ia mampu membendung penularan jangkitan wabak itu.

Katanya, semua pihak, terutama guru perlu mempunyai disiplin tinggi terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan mematuhi manual pengoperasian pembukaan sekolah yang ditetapkan.

"Ibu bapa dan murid juga perlu sama-sama bertanggungjawab mematuhi SOP yang ditetapkan KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KPM," katanya

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 5:18 PM