PAUL Yong Choo Kiong (tengah) hadir untuk perbicaraan kes rogol pembantu rumah yang bermula di Mahkamah Tinggi hari ini. FOTO Bernama
 PAUL Yong Choo Kiong (tengah) hadir untuk perbicaraan kes rogol pembantu rumah yang bermula di Mahkamah Tinggi hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Ipoh: Selepas beberapa kali ditangguh, perbicaraan kes rogol pembantu rumah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh Paul Yong Choo Kiong akhirnya bermula di Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini.

Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Datuk Jamil Aripin berkata, pihaknya akan mengemukakan keseluruhan keterangan yang menunjukkan bahawa tiada konspirasi untuk menganiaya atau menggugat reputasi dan kedudukan tertuduh sebaliknya pertuduhan yang dikemukakan adalah berdasarkan aduan dan hasil siasatan di bawah peruntukan undang-undang.

"Kesimpulan daripada keterangan yang dikemukakan di mahkamah akan membuktikan satu kejadian rogol berlaku dan ia dilakukan oleh tertuduh. Kesemua keterangan itu bakal membentuk satu keterangan yang melampaui keraguan munasabah bahawa tertuduh melakukan kesalahan seperti dalam pertuduhan," katanya semasa membacakan ucapan pembukaan pada prosiding yang bermula kira-kira jam 9.30 pagi.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed yang menggantikan Datuk Hashim Hamzah manakala pendakwaan diketuai Jamil, dibantu Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi dan Ainul Wardah Shahidan sementara pasukan pembelaan terdiri daripada peguam Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir.

Rajpal pula membangkitkan isu mengenai kaedah pembuktian dan penggunaan Akta Perlindungan Saksi 2009 dalam kes itu yang digunakan terhadap mangsa berusia 24 tahun dan saksi selain Seksyen 265 (A) Kanun Tatacara Jenayah oleh pihak pendakwaan untuk memberi keterangan melalui pautan video.

Terdahulu, Yong, 51, tiba di pekarangan mahkamah pada jam 8.45 pagi, disambut sorakan kira-kira 30 penyokongnya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat umur yang datang menaiki sebuah bas.

Prosiding bermula dengan keterangan saksi pertama Koperal P Paul Vethamuthu dan saksi kedua Konstabel Nik Zamri Ismail iaitu jurufoto dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh yang merakamkan gambar di lokasi kejadian, barang kes dan berkaitan siasatan.

Pada sebelah petang, seorang lagi saksi dipanggil iaitu penerima aduan di Jabatan Tenaga Kerja, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur, Riki Sapari, 39, yang menjawab panggilan mangsa menerusi panggilan telefon di Bahagian Pengaduan pada kira-kira jam 11 pagi, 8 Julai 2019.

Semasa pemeriksaan utama, Riki memaklumkan mangsa yang kedengaran seperti menangis, panik dan ketakutan memaklumkan diperkosa oleh majikan dan berulang kali meminta supaya diselamatkan.

Saksi itu kemudian meminta mangsa menghubunginya semula pada telefon bimbitnya namun mangsa dikatakan membuat panggilan menggunakan telefon rumah majikannya.

Salim, ketika pemeriksaan balas mempersoalkan nombor telefon yang menghubungi semula Riki bukannya nombor telefon rumah Yong.

Peguam itu turut mempersoalkan apabila Riki mencatatkan aduan diterima bahawa majikan mangsa melakukan pelecehan seksual dan bukannya memperkosa namun Riki menjelaskan mangsa mengatakan dia diperkosa bukannya hanya disentuh pada bahagian tertentu.

"Pada saat itu saya tidak tulis pemerkosaan tetapi pelecehan seksual kerana saya tidak dalam posisi untuk menentukan apakah kejadian itu perlakuan seksual saja atau pemerkosaan. Oleh sebab itu, kami (KBRI) merujuk laporan itu kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut," kata Riki.

Prosiding kemudian ditangguhkan dan bersambung jam 10 pagi esok.

Pada 23 Ogos 2019, Yong yang ketika itu memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak didakwa merogol pembantu rumahnya di kediamannya di Meru Desa Park pada 7 Julai 2019 antara 8.15 malam dan 9.15 malam.

Pada 21 Disember lalu, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan sembilan hari bermula 30 Mac untuk perbicaraan kes itu namun ditangguhkan ke hari ini.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen, namun pada 15 Disember lalu Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan agar kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 10:23 PM