GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kelab Penghibur Jalanan (MYBC) yang dibatalkan penubuhannya November tahun lalu akan ditubuhkan semula.

Pengasasnya, Wady Hamdan berkata, hasil perbincangan bersama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) tiga hari lalu, pihaknya membuat pendaftaran semula berdasarkan nasihat agensi itu.

"Segala program yang sedang dilaksanakan di bawah MYBC boleh diteruskan seperti biasa tanpa membabitkan pembayaran ke akaun persatuan sehingga pendaftaran baru sah digunakan.

"Bagi masalah pendaftaran ahli yang dibuat selepas November 2020, atas nasihat JPPM, ia boleh dipindahkan pendaftaran ke persatuan terkini.

"Bagi keahlian sedia ada juga akan dipindahkan di bawah pendaftaran baharu dan semua ahli akan menerima nombor keahlian yang baru tak lama lagi," katanya yang mendakwa persatuannya tidak dimaklumkan mengenai pembatalan itu sebelum ini.

Wady berkata, MYBC adalah satu jenama yang cukup dikenali selaku peneraju transformasi pemuzik jalanan negara dan diiktiraf di peringkat nasional dan luar negara dengan pelbagai sumbangan dan kejayaan selama sembilan tahun.

Menurutnya, MYBC juga adalah satu pencetus naiktaraf platform pemuzik jalanan yang diterima dengan baik pihak kerajaan, swasta dan masyarakat umumnya.

"Kita sedang merancang untuk lebih tinggi.

"Antaranya Sijil Asas Seni Jalanan yang diiktiraf kerajaan sebagai langkah mempelopori segmen akademik.

"Kemunculan Koperasi Buskers Berhad yang diterajui Datuk Ramli MS bertujuan mengimbangi industri agar komuniti ini mampu memantapkan nilai kehidupan sebagai usahawan dan mampu memiliki aset seperti rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 8:22 PM