PENGUAT kuasa AADK merangkak dan masuk melalui lubang bawah rumah di Kampung Tebing Tinggi. FOTO ihsan AADK Pasir Puteh
PENGUAT kuasa AADK merangkak dan masuk melalui lubang bawah rumah di Kampung Tebing Tinggi. FOTO ihsan AADK Pasir Puteh
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terpaksa merangkak dan masuk ke dalam sebuah rumah di Kampung Tebing Tinggi, di sini, semalam, melalui lubang untuk menangkap seorang penagih.

Ini kerana penagih berusia 30 tahun itu 'memaku' semua tingkap dan pintu rumah, menjadikan lubang di bawah kediaman itu satu-satunya laluan masuk dan keluar.

Ketua Pegawai AADK Pasir Puteh, Azlina Mohd Zain berkata, lelaki itu mengaku mengambil dadah sejak lima tahun lalu dan menjadikan rumah pusaka orang tuanya sebagai tempat melakukan aktiviti penyalahgunaan dadah.

"Pegawai dan anggota masuk melalui satu lubang yang ditebuk di bawah rumah.

"Kita mengambil masa setengah jam untuk menangkap lelaki itu yang sedang bersembunyi di dalam bilik," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Azlina berkata, lelaki itu antara enam penagih yang ditahan dalam Ops Sharp Bil 2 yang dilaksanakan selama lima jam di sekitar daerah ini.

Operasi membabitkan tujuh anggota AADK dengan tangkapan penagih berusia antara 19 hingga 40 tahun atas kesalahan mengambil pil kuda.

"Lima kes di tahan bawah kesalahan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan dibawa balik ke Pejabat AADK daerah bagi menyelesaikan dokumentasi tangkapan.

"Tiga kes akan direman mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 di Pusat Tahanan Reman Pasir Mas," katanya.

Beliau berkata, dua lagi kes turut direman mengikut seksyen sama di Pusat Tahanan Reman Besut, Terengganu bermula hari ini.

Menurutnya, satu kes lagi ditahan dan diperintah di bawah kesalahan Seksyen 6(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 di Mahkamah Majistret Pasir Puteh hari ini.

"Pihak AADK daerah akan terus komited membanteras penyalahgunaan dadah dan terus memberi kesedaran mengenai bahaya dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 4:26 PM