GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan terhadap individu yang dikesan cuba merentas negeri untuk balik ke kampung bagi menyambut Ramadan.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, pihaknya akan memastikan pemeriksaan ketat dilakukan di setiap sekatan jalan raya (SJR) dan hanya mereka mempunyai dokumen perjalanan lengkap dibenarkan merentas negeri.

Beliau berkata, pihaknya percaya akan ada peningkatan cubaan rentas negeri menjelang Ramadan yang dijangka disambut 13 April ini untuk balik ke kampung memandangkan pada tahun lalu tidak dapat berbuat demikian.

"Pelbagai cara digunakan orang awam untuk rentas negeri balik ke kampung jadi di peringkat PDRM kita akan memperketatkan semua pemeriksaan di SJR bagi memastikan tiada yang terlepas.

"Kalau ada terjumpa juga, tiada nasihat diberikan malah tindakan undang-undang akan terus diambil ke atas individu didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Satu Taman Satu Polis Dan Fokus PDRM Kontinjen Melaka 2021 yang turut dihadiri Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Majid Mohd Ali di Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya tidak mahu sekiranya terdapat lagi individu yang tidak mengambil berat akan SOP ditetapkan.

"Adakah kita akan terus kekal sebegini selamanya kerana masih terdapat sikap tidak mengambil berat akan SOP.

"Jadi sama-sama patuh SOP supaya kita dapat balik raya," katanya.

Mengulas lanjut Zainal Abidin berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 35 SJR diadakan di setiap pintu masuk dan keluar serta sempadan negeri di seluruh negara.

"Kita akan tengok jumlah peningkatan kes harian Covid- 19 kalau meningkat, maknanya kita akan menambah SJR," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Program Satu Taman Satu Polis jelasnya, Melaka menjadi negeri perintis bagi inisiatif itu untuk meningkatkan pencegahan jenayah apabila tujuh kawasan perumahan dipilih pada fasa pertama.

"Program ini akan diperluaskan ke seluruh negara jika kajian impak dalam tempoh tiga bulan menunjukkan kesan positif selain dapat menurunkan kadar jenayah di taman perumahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 2:19 PM