GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Guru besar sekolah rendah yang dijangkiti Covid-19 mencetuskan satu kluster baharu hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster baharu terbabit dikenal pasti di Tawau.

"Terdapat satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Rich Park di Tawau yang mencatatkan 12 kes yang mana kes indeks adalah guru besar berusia 58 tahun.

"Kes indeks disahkan positif Covid-19 selepas menjalani saringan bergejala di klinik swasta pada 1 April lalu dan berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis kenduri kahwin ahli keluarga di tiga lokasi berbeza.

"Antara lokasinya ialah Taman Rich Park dan Taman Ria Tawau pada 26 Mac lalu, sebelum menghadiri majlis resepsi di sebuah hotel terkemuka membabitkan kehadiran 200 orang.

"Selain itu, kes indeks juga menghadiri mesyuarat yang dihadiri sekurang-kurangnya 50 orang.

"Sehingga hari ini, 95 orang disaring dan 12 didapati positif. Aktiviti pengesanan kontak rapat kini giat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian Covid-19 di Sabah masih mengekalkan sebanyak dua angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu pada hari ini ialah 68 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 55,057 kes dan satu kes kematian direkodkan pada hari ini di Tawau.

"Jumlah pesakit Covid-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital ialah 54 menjadikan jumlah kumulatif 54,123 orang.

"Seramai 476 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 201 orang di hospital dan 275 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 8:31 PM