Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Kerajaan sudah bersedia dengan pelan sokongan sekiranya Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memutuskan vaksin AstraZeneca tidak sesuai digunakan di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, pakar tempatan akan bermesyuarat pada Selasa ini bagi menganalisis lebih lanjut data klinikal vaksin AstraZeneca susulan laporan media mengenai kesan sampingan pengambilannya di United Kingdom (UK).

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berkata, kumpulan pakar tempatan juga sedang mengikuti secara dekat perkembangan vaksin AstraZeneca itu.

"Kita ambil maklum bahawa terdapat beberapa kes dalam berita dan kes dikenal pasti daripada Badan Kawal Selia Perubatan UK berkenaan pembekuan darah (kesan sampingan).

"Namun kita masih lagi melihat data berkenaan dan apa sahaja keputusan bagi penggunaan vaksin AstraZeneca akan maklum kemudian.

"Kalau terpaksa tangguh AstraZeneca atau dapati bahawa ia tidak sesuai (digunakan), beberapa perancangan lain termasuk pelan sokongan akan dilaksanakan, " katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad di sini, hari ini.

KHAIRY Jamaluddin bersama Datuk Hasni Mohammad selepas sidang media di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
KHAIRY Jamaluddin bersama Datuk Hasni Mohammad selepas sidang media di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Menurut Khairy, pelan sokongan yang diperincikan bagi menampung bekalan vaksin Covid-19 tempatan termasuk tawaran dos tambahan daripada Pfizer-BioNTech.

"Malaysia terima tawaran daripada Pzifer untuk kita tambah 12.8 juta dos tambahan kepada apa yang sudah ditempah iaitu 32 juta dos.

"Itu akan jadi 'backup plan' (pelan sokongan) sekiranya didapati vaksin lain tidak boleh digunakan.

"Kita juga masih lagi berunding dengan Novovax dan beberapa pengeluar vaksin lain yang belum masuk ke pasaran," katanya yang meminta rakyat tidak bimbang berikutan Vaksin AzstraZeneca masih belum diterima Malaysia.

Katanya, Malaysia dijadualkan menerima vaksin itu pada Mei yang membabitkan sebanyak 6.4 juta dos bagi kegunaan 3.2 juta rakyat.

"Jadi jangan risau kerana kita masih lagi menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac.

"Malaysia juga akan menerima tambahan hampir 1.4 juta dos vaksin menerusi Program Pengedaran Vaksin Covid-19 Antarabangsa (COVAX), pembelian menerusi Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO)," katanya.

Semalam, Badan Kawal Selia Perubatan UK mengesahkan tujuh daripada 30 individu yang mengalami pembekuan darah selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca, meninggal dunia.

Kenyataan dikeluarkan selepas beberapa negara Eropah mengambil keputusan untuk menghentikan sementara suntikan vaksin syarikat farmaseutikal itu selepas ia berpotensi menyebabkan pembekuan darah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 3:23 PM