Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seorang lelaki kerugian RM1.2 juta apabila diperdaya melabur dalam sebuah syarikat pelancongan dan hartanah yang tidak wujud oleh rakan kongsinya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata mangsa membuat laporan polis kira-kira jam 3.52 petang semalam, apabila menyedari dirinya ditipu rakan kongsinya itu.

Katanya, suspek memperdayakan mangsa untuk melabur dalam sebuah syarikat yang didakwa menjalankan perniagaan pelancongan dan hartanah.

"Mangsa dijanjikan mendapat pulangan dividen dan juga milikan saham sebanyak 23.3 peratus berserta modal perniagaan.

"Mangsa yang terpedaya dengan janji manis suspek membuat pembayaran sebanyak RM1.2 juta kepada lelaki berkenaan.

"Siasatan awal mendapati modus operandi suspek yang menawarkan kadar dividen dan milikan saham yang menarik selain dijanjikan mendapat keuntungan semula daripada modal dilaburkan membuatkan mangsa terpedaya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Ayob Khan menasihati orang ramai dan masyarakat supaya lebih berhati-hati dan berwaspada dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi.

"Jangan mudah terpedaya apabila membabitkan transaksi kewangan tanpa bersemuka.

"Semak dahulu akaun bank diberikan menerusi laman sesawanv http://ccid. rmp.gov.my/semakmule/ bagi memastikan akaun diberi pernah terbabit dalam kes penipuan dan berada dalam rekod siasatan polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 11:53 AM