PENYOKONG melakukan imbasan kod sebelum memasuki stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga Super antara JDT dan Melaka United di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam. FOTO Nur Aisyah Mazalan
PENYOKONG melakukan imbasan kod sebelum memasuki stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga Super antara JDT dan Melaka United di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam. FOTO Nur Aisyah Mazalan
BERNAMA

Iskandar Puteri: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memuji kejayaan Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam memastikan segala pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penonton dapat dilaksanakan dengan baik ketika perlawanan pasukan itu bertemu Melaka United FC di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini kerana berdasarkan tinjauan dibuat, JDT didapati telah melakukan pelbagai persediaan termasuk menyediakan 260 petugas keselamatan untuk memantau pematuhan SOP.

Selain itu, di pihak MFL, beliau berkata, mereka berjaya membuktikan telah mengurus pembelian tiket secara dalam talian dengan berkesan.

"Hari ini (malam tadi) JDT dan penonton JDT telah membuktikan bahawa mereka benar-benar disiplin patuh SOP dan ini akan menjadi pembuka laluan yang mudah untuk stadium-stadium lain meneruskan perlawanan dengan menyaksikan kehadiran penonton," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.

Reezal berkata, beliau akan meminta MFL dan JDT mendokumentasikan segala perjalanan SOP penonton di Stadium Sultan Ibrahim untuk dikemukakan kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya dapat meyakinkan mereka berhubung kesiapsiagaan kelab bola sepak dalam mengendalikan pematuhan SOP digariskan.

Dalam pada itu, ditanya seawal bila KBS dijangka mengumumkan kebenaran semua penonton untuk masuk ke stadium, Reezal berkata secara kelulusannya, perkara itu sudah boleh dilakukan.

"Cuma dari segi FC (kelab bola sepak) itu sendiri, kami (kementerian) hendak lihat keupayaan mereka kerana ini juga melibatkan elemen penambahan kos namun dalam mesyuarat yang dilakukan MFL bersama semua pasukan, pada umumnya telah mempunyai persediaan namun persediaan mereka akan dipantau dari semasa ke semasa supaya apabila berlangsungnya perlawanan mereka boleh patuh," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 10:26 AM