SHAFIEN (tengah) menunjukkan dua laras senapang yang dirampas. FOTO Ramli Ibrahim
SHAFIEN (tengah) menunjukkan dua laras senapang yang dirampas. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Polis menahan lima lelaki dan merampas dua laras senapang patah di Aring Empat, dekat sini, pagi semalam.

Turut dirampas ialah 36 butir peluru hidup untuk memburu haiwan di hutan berkenaan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menemui sebuah kenderaan dinaiki lima lelaki menghala ke kawasan hutan jam 2.30 pagi.

Beliau berkata, apabila kenderaan itu ditahan, penumpang kelihatan serba salah dan mencurigakan menyebabkan polis melakukan pemeriksaan.

"Pemeriksaan menemui dua laras senapang patah bersama 36 peluru hidup," katanya pada sidang media di IPD Gua Musang, di sini, hari ini.

Shafien berkata, siasatan awal mendapati senjata itu tidak mempunyai lesen.

Beliau berkata, lima lelaki terbabit yang juga pekerja ladang sawit membuat pengakuan mereka mahu memburu haiwan.

Katanya, kes rampasan senapang patah itu adalah kali kedua pada tahun ini.

"Lima lelaki berumur antara 25 hingga 38 tahun itu direman sehingga 7 April ini untuk membantu siasatan.

"Seorang daripada mereka juga didapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi 1971 dan Seksyen 8 (A) Akta Senjatapi 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 5:55 PM