ANGGOTA polis berjaya menahan suspek yang memandu kereta Mitsubishi Lancer. FOTO ihsan Pembaca
ANGGOTA polis berjaya menahan suspek yang memandu kereta Mitsubishi Lancer. FOTO ihsan Pembaca
Juwan Riduan


Labuan: Polis berjaya menahan seorang lelaki yang bertindak ganas dengan merempuh kereta peronda ketika cuba meloloskan diri sehingga memaksa polis melepaskan tembakan di Jalan Bunga Mawar, di sini, semalam.

Bagaimanapun kejadian jam 9.30 malam itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan kepada suspek atau orang awam di lokasi terbabit.

Suspek akhirnya ditahan dan pemeriksaan mendapati beberapa paket plastik lut sinar berisi bahan kristal dipercayai dadah syabu padanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, kejadian berkenaan sempat dirakam oleh pengguna media sosial sehingga tular.

Katanya, kejadian membabitkan suspek berusia 44 tahun yang dikesan dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta Mitsubishi Lancer.

"Kereta peronda polis kemudian mengekori kenderaan berkenaan namun suspek bertindak memecut dipercayai untuk meloloskan diri.

"Kereta suspek bagaimanapun terkandas selepas merempuh sebuah Toyota Hilux milik bahagian penguatkuasaan Perbadanan Labuan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Ibrahim berkata, suspek bertindak mengundurkan kenderaannya sehingga terlanggar kereta peronda polis sebelum sekali lagi merempuh pacuan empat roda di hadapannya.

Katanya, dalam keadaan terancam, anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta suspek bagi memberhentikan kenderaan berkenaan.

"Suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan mendapati suspek membawa lapan paket plastik dipercayai dadah jenis syabu.

"Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh anggota polis bertugas," katanya.

Mohd Ibrahim berkata, suspek didapati positif dadah dan pernah ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 pada 2018 dan 2020.

Katanya, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 3:32 PM