DR Noor Hisham bersama Pengerusi IJN Sdn Bhd, Datuk Dr. Abdul Rozali (kanan) dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Mohamed Ali (kiri) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman antara Institut Jantung Negara (IJN) dengan UniSZA yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif IJN Holdings, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim dan Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri (dua dari kiri) pada Majlis Menantangani Memorandum Persefahaman UniSZA dan IJN di Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad

Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Institut Jantung Negara (IJN) akan membuka pusat pakar jantung di Terengganu yang menjadi fasiliti pertama di luar ibu negara sejak ditubuhkan 29 tahun lalu.

Penubuhan pusat pakar jantung itu dilakukan hasil kerjasama antara IJN dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerusi pembinaan Hospital Pengajar UniSZA di Gong Badak, Terengganu yang dijangka mula beroperasi suku pertama tahun depan.

Kerjasama antara kedua-dua institusi itu dimeterai hari ini dalam satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata, IJN akan memulakan kerjasama peringkat awal dalam perkhidmatan perundingan dan khidmat nasihat kardiovaskular serta toraks (rongga dada) di Hospital Pengajar UniSZA.

Menurutnya, pihaknya akan memulakan dengan rawatan pesakit luar pakar terlebih dahulu, dan berkembang ke perkhidmatan lain seperti kardiovaskular dan toraks pediatrik.

"Pusat ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 pesakit di Pantai Timur.

"Kami menerima banyak permintaan sama ada kami akan memberikan rawatan di luar Kuala Lumpur.

"Jadi, ini adalah langkah pertama untuk membawa perkhidmatan kami kepada orang ramai, malah kami akan melihat kemungkinan pembukaan pusat seperti itu di kawasan lain selepas ini," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU berkenaan.

Turut hadir menyaksikan majlis adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan; Ketua Pegawai Klinik IJN, Dr Hasri Samion dan Pengarah UniSZA, Hilmi Mohd Nashir.

MoU selama dua tahun itu menggariskan kepentingan menjalin kerjasama dalam perkhidmatan perubatan, kesihatan, kemudahan, latihan, penyelidikan dan perkhidmatan perubatan lain yang berkaitan di Terengganu.

Sementara itu, Dr Hassan Basri berkata, pembinaan hospital itu sudah siap 85 peratus dan dijangka dibuka tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 4:54 PM