Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan negeri tetap akan melaksanakan pembinaan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dan baraj di Sungai Muda pada tahun ini, walaupun dibantah Pulau Pinang.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kedua-dua projek itu dianggap penting bagi masa depan negeri serta demi menjaga kepentingan rakyat Kedah.

Menurutnya, permintaan Pulau Pinang agar Kerajaan Persekutuan segera campur tangan bagi mengatasi kemelut bayaran air kepada Kedah juga dialu-alukan dalam menyelesaikan isu yang masih menjadi pertikaian.

"Sekiranya Pulau Pinang mahu Kerajaan Persekutuan campur tangan, kita harap campur tangan itu ke arah Pulau Pinang membayar caj air mentah kepada Kedah.

"Atas apa alasan sekali pun, projek TAPS dan baraj tetap akan diteruskan bagi menstabilkan paras air Sungai Muda untuk kegunaan pertanian dan bekalan minum rakyat Kedah, itu yang paling utama," katanya ketika sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang dilaporkan menyarankan Kerajaan Persekutuan untuk campur tangan bagi mengatasi kemelut air yang berlaku dengan negeri Kedah.

Kon Yeow dipetik berkata, pihaknya berharap agar kementerian berkaitan dapat memainkan peranan sewajarnya demi menjaga kepentingan umum berhubung isu itu.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya bersedia mengambil kira kepentingan dan keperluan Pulau Pinang dalam menggunakan sumber air Sungai Muda sekiranya negeri itu sedia membayar caj air mentah yang dituntut.

"Sekiranya mereka enggan bayar (caj air), kita anggap tak ada orang di bawah itu (di Pulau Pinang)," katanya.

Minggu lalu, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak pernah mengugut Pulau Pinang yang mungkin terpaksa menggunakan 'air selut' sekiranya enggan membayar caj air, sebaliknya ia hanya peringatan berikutan Kedah dijangka melaksanakan projek TAPS dan baraj pada tahun ini.

Terdahulu Muhammad Sanusi hadir menyaksikan perjanjian usaha sama antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Open Road Asia Sdn Bhd bagi melaksanakan Projek Pembangunan Litar dan Pembangunan Bercampur di Bukit Malut, Langkawi.

MUHAMMAD Sanusi Md Nor (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Datuk David Goh (kanan) dengan Abdul Rahman Din (kiri) pada majlis menandatangani projek pembangunan Litar Bukit Malut, Langkawi di Wisma Darul Aman. FOTO Luqman Hakim Zubir
MUHAMMAD Sanusi Md Nor (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Datuk David Goh (kanan) dengan Abdul Rahman Din (kiri) pada majlis menandatangani projek pembangunan Litar Bukit Malut, Langkawi di Wisma Darul Aman. FOTO Luqman Hakim Zubir

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 2:35 PM