MOHD Aliff hampir berputus asa selepas jualan di Fb Live tidak mendapat sambutan sejak kebelakangan ini. FOTO ihsan Mohd Aliff Sumino
MOHD Aliff hampir berputus asa selepas jualan di Fb Live tidak mendapat sambutan sejak kebelakangan ini. FOTO ihsan Mohd Aliff Sumino
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Kurang penonton dan ada kalanya tiada pembeli langsung.

Itu cabaran dihadapi peniaga barangan terpakai, Mohd Aliff Sumino, 25 ketika berniaga menerusi aplikasi Fb Live.

Menurut Mohd Aliff, dia percaya bukan dia sahaja malah ada juga peniaga lain mengalami nasib sama.

Mohd Aliff yang menetap di Sandakan, Sabah mengakui cabaran itu ada kalanya membuatkannya hampir berputus asa kerana tidak tahu sampai bila akan bertahan.

"Saya bekerja tetap sebagai pembantu pejabat di sebuah agensi kerajaan.

"Gaji bulanan tidak seberapa untuk menyara isteri serta tiga anak saya yang berusia empat bulan, tiga serta lima tahun.

"Disebabkan itu, saya cuba berniaga menjual pakaian terpakai dengan harapan memperoleh pendapatan sampingan bagi menampung keperluan keluarga," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Mohd Aliff, pada awalnya sambutan diterima agak baik namun kini tidak serancak dulu dan ada ketika, tiada langsung pelanggan membeli sepanjang bersiaran langsung.

Disebabkan ketiadaan untung dan modal pusingan, Mohd Aliff berkata, dia terpaksa 'tebalkan muka' untuk mengambil barangan terlebih dahulu daripada pembekal.

"Untuk berniaga, saya perlu membeli pakaian dalam kuantiti banyak namun modal diperlukan bukan sedikit.

"Jika ada wang, saya akan membeli secara tunai namun ada masanya, saya ambil dulu barangan dengan pembekal dan berusaha membayarnya selepas mendapat untung.

"Itu cara saya dan kini, pakaian yang ada tinggal sedikit dan tidak tahu bagaimana untuk meneruskan perniagaan.

"Keadaan kini semakin parah dan ada kemungkinan, saya terpaksa berhenti berniaga kerana tanpa modal, sukar untuk saya meneruskannya," katanya.

Mohd Aliff bagaimanapun berterima kasih kepada rakan peniaga di sekitar Sandakan dan Sabah kerana tidak henti sentiasa menyokong dan memberinya semangat sejak awal menceburi bidang perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 2:22 PM