GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang: Seramai 13 orang termasuk lima warga asing ditahan dalam Ops Tapis Khas di sekitar Flat 610, Pandan Indah, di sini, semalam, susulan mereka menjadikan rumah kosong di situ sebagai lokasi mengambil dadah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, operasi bermula jam 10 pagi hingga 5 petang itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya bersama Agensi Antidadah Kebangsaan Ampang.

Menurutnya, hasil operasi itu, seorang individu ditahan kerana memiliki dadah mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, empat orang ditahan kerana memiliki dadah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan lapan penagih ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

"Semua suspek berusia 20 hingga 54 tahun direman untuk siasatan lanjut di mana semakan rekod mendapati lapan warga tempatan mempunyai rekod lampau kes jenayah dan dadah.

"Bagi warga asing pula, siasatan pengesahan identiti dokumen masih dalam tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.

"Ops Tapis Khas itu dijalankan setelah polis menerima maklumat daripada orang awam di mana penagih menjadikan rumah kosong sebagai 'port' menghisap dadah.

"Kami menyarankan orang awam untuk menyalurkan maklumat kepada polis bagi membanteras dadah khususnya di kawasan Ampang Jaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 2:25 PM