KUALA LUMPUR 27 NOVEMBER 2020. Gambar Hiasan penyelidikan tentang vaksin. NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
KUALA LUMPUR 27 NOVEMBER 2020. Gambar Hiasan penyelidikan tentang vaksin. NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Langkah Kesatuan Eropah (EU) menyekat eksport vaksin Covid-19 berikutan kemunculan jangkitan gelombang ketiga dan keputusan New Delhi menangguhkan eksport vaksin ekoran lonjakan jangkitan di India mendapat perhatian dunia.

Ditambah tindakan Amerika Syarikat (AS) menyekat eksport bahan mentah untuk penghasilan vaksin bagi meningkatkan pengeluaran Pfizer BioNTech - Comirnaty di pasaran AS, menyebabkan banyak negara bukan pembuat vaksin takut kemungkinan menghadapi kekurangan bekalan.

Beberapa minggu kebelakangan ini, dunia turut menyaksikan pertelingkahan antara United Kingdom (UK) dan EU sehingga EU mengancam larangan eksport vaksin Covid-19.

Penangguhan eksport vaksin India juga mengecewakan kerana langkah itu mengakibatkan banyak negara termiskin di dunia terpaksa menunggu lagi.

Bagaimanapun, pakar di Malaysia berpendapat sekatan eksport vaksin tidak mungkin memberi kesan besar terhadap program imunisasi Covid-19 kebangsaan dan kekurangan itu hanya bersifat sementara.

Pakar Epidemiologi dan Kesihatan Awam Universiti Malaya, Profesor Dr Sanjay Rampal Lekhraj Rampal berkata sebarang kelewatan dalam pemberian vaksin mungkin tidak memberi kesan besar terhadap strategi vaksinasi secara berkesan dalam jangka masa pendek dan sederhana.

Dr Sanjay Rampal berpandangan kekurangan itu disebabkan permintaan global yang lebih tinggi berbanding sekatan eksport, dan akan diatasi dalam masa terdekat kerana pengeluar juga bakal meningkatkan pengeluaran.

Tambahan pula, banyak negara termasuk Malaysia mempunyai strategi sendiri dalam memperoleh vaksin.

Ini termasuk mendapatkan beberapa portfolio vaksin untuk memastikan bekalan mencukupi.

Beliau memuji langkah Malaysia dalam merancang pembelian vaksin.

"Malaysia beruntung kerana kerajaan telah merancang untuk memvaksin 110 peratus penduduk. Berdasarkan rancangan strategik, 90 peratus rakyat Malaysia tetap menerima vaksin walaupun tanpa vaksin AstraZeneca," katanya.

Sementara itu, pakar keselamatan antarabangsa Prof Dr Kamarulnizam Abdullah dari Universiti Utara Malaysia sependapat dengan Dr Sanjay Rampal bahawa mendapatkan vaksin daripada pelbagai sumber dan mempertimbangkan vaksin yang berbeza adalah langkah wajar.

"Strategi Malaysia yang tidak hanya bergantung pada Pfizer-BioNTech atau AstraZeneca dan mendapatkannya daripada pelbagai sumber dapat memberikan alternatif untuk memastikan program vaksinasi tetap lancar, meskipun jika berlaku kekurangan bekalan.

"China melakukan diplomasi vaksin dengan menawarkan bantuan kepada negara-negara yang mungkin tidak berjaya mendapatkan vaksin dari Eropah atau India," katanya sambil menunjukkan sumber lain yang tersedia sekiranya terdapat kekurangan pada pembekal lain.

Mengenai ketidaksamaan global dalam pengedaran vaksin Covid-19, terutama untuk negara-negara kurang maju, Kamarulnizam berkata negara kaya yang mempunyai lebihan vaksin harus memberikannya kepada negara miskin untuk memastikan usaha global memerangi pandemik berjaya.

Bagi memastikan pengedaran vaksin secara adil, pengagihannya perlu diselaraskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sehingga menjangkau negara-negara miskin juga.

"Namun negara-negara kaya, seperti AS dan EU mesti menjadi terbabit sama dalam usaha ini," katanya.

Malaysia melancarkan program imunisasi Covid-19 kebangsaan pada 24 Februari dengan vaksin Pfizer-BioNTech diikuti vaksin Sinovac buatan China mulai 18 Mac.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, Malaysia sebelum ini membeli 12.8 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech dan menambah tujuh juta dos lagi untuk merangkumi 50 peratus penduduk negara ini.

Katanya, Kementerian Kesihatan juga bersetuju membeli 12 juta dos pengisian dan menyelesaikan vaksin Sinovac dari Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd, selain 200,000 dos produk akhir dari Beijing.

Selain vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac, Malaysia juga menandatangani perjanjian untuk mendapatkan AstraZeneca, CanSino dan Sputnik V untuk memperluas portfolio vaksin.

Malaysia menyasarkan untuk menyuntik 9.4 juta orang di bawah Fasa 2, bermula April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 1:31 PM