GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Sabah hari ini mencatatkan dua kluster baharu masing-masing di daerah Lahad Datu dan Kota Kinabalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, dua kluster terbabit, Kluster Jalan Kastam Baru di Lahad Datu mencatatkan sebanyak enam kes manakala Kluster Inanam Taipan di Inanam, Kota Kinabalu mencatatkan sebanyak sembilan kes.

"Kluster Jalan Kastam Baru di Lahad Datu mula dikesan pada 25 Mac lepas apabila kes indeks yang membabitkan pegawai penguat kuasa disahkan positif melalui saringan bergejala di klinik kerajaan.

"Susulan kes itu, saringan kontak rapat dan saringan tempat kerja dijalankan ke atas 51 orang dengan enam kes didapati positif manakala 39 orang lagi masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan.

"Bagi Kluster Inanam Taipan di Inanam Kota Kinabalu, kes indeks membabitkan kakitangan khidmat pelanggan di kedai menjual barangan kemas dan disahkan positif melalui saringan bergejala pada 16 Mac lepas.

"Berdasarkan penelitian kes, jangkitan tersebut berpunca daripada komuniti," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian Covid-19 hari ini kekal sebanyak dua angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini sebanyak 64 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 54,584 kes dan satu kes kematian direkodkan di daerah Tawau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 9:45 PM