Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Simpati dengan nasib Nik Fatihah Faten Nik Ismail iaitu seorang wanita cacat fizikal terlantar yang terabai sejak ibunya ditahan pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu.

Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) mengambil inisiatif mengupah khidmat pusat rehabilitasi dan fisioterapi, Shaliscare Rehab & Physio Center untuk membersihkan wanita berusia 28 tahun itu yang kini dijaga adiknya, Nik Muhamad Firdaus, 22, selepas ibu mereka Saodah Rosa, 51, yang juga warganegara Thailand sedang ditahan di depot tahanan Imigresen Tanah Merah atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri.

Sejak ibunya ditahan dua minggu lalu, wanita yang juga buta dan tidak dapat bercakap itu tidak dapat diuruskan dengan sempurna oleh Nik Muhamad Firdaus yang kini sedang menjalani latihan industri di sebuah agensi kerajaan di sini.

Ketua Aktivis POKB, Saripah Ismail berkata, wakil Shaliscare Rehab & Physio Center akan datang tiga kali dalam seminggu iaitu pada Sabtu, Isnin dan Rabu untuk memandikan dan menguruskan kebersihan Nik Fatihah Faten dan pihaknya dikenakan bayaran sebanyak RM70 untuk setiap sesi.

"Khidmat ini adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat kami buat Nik Fatihah Faten selain bersimpati dengan nasib mereka dua beradik.

"Setakat ini sudah dua kali sesi ini dijalankan dan akan diteruskan sehingga ibu mereka dibebaskan atau sementara menerima bantuan lain daripada mana-mana pihak yang turut bersimpati," katanya ketika ditemui di rumah dua beradik itu di Lorong Chicha, Berek 12, di sini, hari ini.

Tugas memandikan wanita OKU dilakukan tiga wakil pusat rehabilitasi itu pada jam 10 pagi dan ia disambung dengan memotong kuku, menyapu krim luka dan memakaikan lampin pakai buang yang dijalankan kira-kira satu jam.

Sementara itu, Nik Muhamad Firdaus berkata, bantuan yang diberikan POKB itu sangat meringankan bebannya yang kadangkala tidak sempat menguruskan kakaknya itu kerana kekangan kerja.

Dia yang juga lulusan Diploma Kejuruteraan Awam dari Politeknik Kok Lanas di sini berkata, sebelum keluar ke tempat latihan industri, dia akan menyuap kakaknya makan terlebih dahulu dan akan pulang menjenguknya pada waktu tengah hari bagi memberi makan sekali lagi termasuk memandikannya.

"Hanya kami berdua sahaja yang tinggal di rumah ini manakala lima adik beradik lain menetap berasingan termasuk tiga di luar Kelantan namun sesekali ada datang menjenguk kami.

"Beberapa hari lalu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada datang melawat serta memperbaharui kad OKU kakak dan kami dimaklumkan jumlah elaun bulanannya yang dihentikan sebelum ini akan disambung semula malah dinaikkan daripada RM350 kepada RM500.

"Terima kasih juga kepada POKB yang turut memaklumkan perkembangan mengenai ibu dan kami difahamkan dia akan menjalani perbicaraan esok malah mungkin akan dihantar pulang ke negara asal," katanya.

Nik Muhamad Firdaus mendukung kakaknya Nik Fatihah Faten ketika ditemui di rumah dua beradik itu di Lorong Chicha, Berek 12. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nik Muhamad Firdaus mendukung kakaknya Nik Fatihah Faten ketika ditemui di rumah dua beradik itu di Lorong Chicha, Berek 12. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 3:47 PM