Harian Metro santuni 150 murid di Temerloh.
Harian Metro santuni 150 murid di Temerloh.
Yusmizal Dolah Aling


Temerloh: "Terima kasih banyak kepada Harian Metro dan Milo kerana sudi mengadakan program di Mukim Songsang ini.

"Ini kali pertama program seperti ini diadakan dan saya berbesar hati menerima bantuan dan ia sangat bermanfaat untuk anak-anak di sini," kata Penghulu Mukim Songsang, di sini, Abdul Halim Abdul Samad.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan program Titipan Kasih Khas Kembali Ke Sekolah Harian Metro bersama Milo yang diadakan esok.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya menerima bantuan daripada syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu penduduk dengan memberi pelbagai sumbangan bagi meringankan beban.

"Diharapkan ia akan memberi manfaat kepada anak-anak di sini dan memudahkan mereka belajar.

"Kita tahu dalam situasi ekonomi tidak menentu ini, sudah pasti banyak keluarga yang terkesan dan memerlukan bantuan. Jadi ia kena pada masanya," katanya.

Kakitangan Econsave mengangkat barangan  pada Titipan Kasih Harian Metro  di Dewan Serbaguna Mukim Songsang. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Kakitangan Econsave mengangkat barangan pada Titipan Kasih Harian Metro di Dewan Serbaguna Mukim Songsang. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit berkata, pihaknya berterima kasih kepada Milo selaku penaja, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Temerloh, Penghulu Mukim dan masyarakat setempat yang membantu menjayakan program ini.

Katanya, seramai 150 murid akan menerima sumbangan berupa beg sekolah, cenderamata Milo dan baucer barangan sekolah bernilai RM200.

"Program ini juga memberikan sumbangan Kotak Rezeki kepada keluarga murid-murid ini bagi meringankan beban keluarga mereka," katanya.

Husain Jahit (tengah) beramah mesra dengan sebahagian penduduk pada Titipan Kasih Harian Metro  di Dewan Serbaguna Mukim Songsang. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Husain Jahit (tengah) beramah mesra dengan sebahagian penduduk pada Titipan Kasih Harian Metro di Dewan Serbaguna Mukim Songsang. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 8:35 PM