FOTO hiasan
FOTO hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu, Kota Belud, Sabah bermula esok sehingga 8 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan situasi kes Covid-19 di Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu, Kota Belud, Sabah.

"Sehingga kini, KKM melaksanakan 89 ujian saringan di Kampung Lebak Moyoh dan daripada jumlah itu seramai sembilan disahkan positif Covid-19.

"Sebanyak 77 ujian saringan dilaksanakan di Kampung Siasai Tamu dan tujuh kes positif dilaporkan di lokaliti ini," katanya dalam kenyataan perkembangan harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Menurutnya, KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di kedua-dua lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti yang tinggi.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kedua-dua lokaliti ini.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan, Sabah pada esok.

"Sehingga kini, KKM melaksanakan 821 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 140 kes positif Covid-19 direkodkan," katanya.

Menurutnya, KKM mengesahkan kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan, kluster adalah terkawal serta semua kes positif sudah menerima rawatan.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di dua kampung ini seperti yang dijadualkan" katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 5:29 PM