Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Sejumlah 100,000 pek makanan akan diagihkan kepada pelarian Syria di kawasan Al-Bab, A'zaz dan Idlib sepanjang Ramadan akan datang melalui Misi Bantuan Ramadan MyFundAction 2021 - Iftar Istimewa Ummah & Bantuan Ramadan untuk Syria.

Ketua Pegawai Eksekutif MyFundAction, Muhammad Afiq Mohamad Nazari berkata, bantuan makanan itu akan disumbangkan dalam bentuk bakul makanan serta masakan panas kepada pelarian Syria sepanjang Ramadan.

"Menerusi Iftar Istimewa Ummah & Bantuan Ramadan untuk Syria juga, MyFundAction juga akan menyediakan 1,000 penempatan yang kondusif dan selesa kepada pelarian Syria di kawasan Al-Bab, A'zaz dan Idlib.

"My FundAction juga membiayai penuh sebuah kilang roti di Idlib yang dapat memberi makanan ruji harian kepada 5,000 pelarian Syria selain membina Masjid As Sabeel di Al-Bab, Syria.

"Secara keseluruhannya MyFundAction menyasarkan sumbangan berjumlah RM7.3 juta bagi dua projek ini, tetapi sumbangan yang diterima setakat ini baru mencecah RM2.3 juta.

"Ini bermakna, kami masih memerlukan RM5 juta bagi melaksanakan projek bantuan di Syria, ini bagi membiayai 1,000 perumahan, kilang roti dan masjid yang dimaksudkan," katanya tadi.

Mengulas lanjut katanya, bantuan kemanusiaan itu bukan sahaja ke Syria tetapi juga di negara lain seperti Yaman, Jepun, Afrika, Mesir, Palestin, Malaysia termasuk mualaf.

"Cuma apabila kami mendapat maklumat keadaan di Syria kian teruk susulan konflik perang berlanjutan dan terkesan akibat masalah daripada ekonomi, tekanan politik, dan peperangan..kami rasa itu tanggungjawab kami untuk membantu pelarian di sana.

"Pada masa sama, negara lain termasuk insan kurang bernasib baik di negara kita turut kami bantu," katanya.

Beliau berkata, misi bantuan itu membabitkan 15 delegasi MyFundAction termasuk pengasasnya, Dr Mohd Hizul Md Noor dan beliau sendiri di mana mereka akan berada di sana selama dua minggu bermula 2 April depan.

"Usaha ini satu bentuk solidariti bersama NGO antarabangsa seperti Hayrat Yardim, UFUK Association for Relief and Development dan IHH Humanitarian Relief Foundation (IHH) dalam menyalurkan bantuan untuk persiapan pelarian Syria menyambut Ramadan, sekaligus memberikan bantuan berterusan sepanjang bulan itu.

"Kami berharap usaha ini memberi sinar harapan baru buat pelarian di Syria di masa akan datang.

"Misi ini juga titik utama bagi MyFundAction untuk menyediakan bantuan kepada warga Syria secara berterusan kerana menerusi misi ini, delegasi MyFundAction akan menyediakan sebanyak mungkin bentuk bantuan yang bukan bersifat sementara atau 'one-off'," katanya.

Katanya, misi itu juga salah satu inisiatif yang dilakukan oleh MyFundAction dalam usaha untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) iaitu Membina Bangunan Berkekalan dan Berdaya Tahan di Negara-Negara yang Kurang Membangun.

"Usaha ini dilakukan bagi mencapai matlamat untuk berikan sokongan kewangan kepada negara-negara ini dari segi membina bangunan yang utuh, berdaya tahan tinggi dengan menggunakan bahan tempatan.

"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu secara langsung dan tidak langsung, bantuan yang diterima ini memberikan manfaat yang besar kepada delegasi MyFundAction yang akan berangkat ke Syria nanti," katanya.

Dalam pada itu katanya, MyFundAction mengalu-alukan syarikat korporat, NGO atau orang perseorangan untuk bekerjasama dengan MyFundAction membantu lebih ramai lagi pada masa akan datang.

"Jika mana-mana pihak ingin membantu misi ini, boleh sumbangkan ke Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) menerusi Maybank Islamic 550510970083," katanya.

ABDUL Rahman (kiri), Ketua Pegawai Eksekutif MyFundAction, Muhammad Afiq (dua dari kiri), Ketua Pegawai Operasi MyFundAction, Aisyah (dua dari kanan) dan Ikon MyFundAction, Wan Sharmila pada sidang media Misi Bantuan Ramadan MyFundAction 2021 iaitu Iftar Istimewa Ummah & Bantuan Ramadan untuk Syria di Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
ABDUL Rahman (kiri), Ketua Pegawai Eksekutif MyFundAction, Muhammad Afiq (dua dari kiri), Ketua Pegawai Operasi MyFundAction, Aisyah (dua dari kanan) dan Ikon MyFundAction, Wan Sharmila pada sidang media Misi Bantuan Ramadan MyFundAction 2021 iaitu Iftar Istimewa Ummah & Bantuan Ramadan untuk Syria di Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 5:03 PM