MOHD Haris ketika berucap sempena Sambutan Hari Polis ke 214 Peringkat IPD Penampang. FOTO Yun Mikail
MOHD Haris ketika berucap sempena Sambutan Hari Polis ke 214 Peringkat IPD Penampang. FOTO Yun Mikail
Yun Mikail

Penampang: Pecah masuk dan mencuri wang bagi tujuan bersuka ria termasuk menginap di hotel sekitar bandar raya Kota Kinabalu, itu kegiatan dua lelaki yang dikenali sebagai Geng Taufiq sejak Januari lalu

Namun kegiatan kedua-dua suspek itu yang terdiri seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dan seorang remaja warganegara Filipina berusia 13 tahun akhirnya tumpas selepas mereka berjaya ditahan beberapa jam selepas melakukan aktiviti jenayah itu Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim berkata penangkapan kedua-dua suspek terbabit sekaligus menyelesaikan lapan kes pecah masuk dan curi membabitkan premis perniagaan sekitar Beverly Hill serta Bundusan.

"Suspek ditahan selepas kita menerima laporan pecah masuk sebuah kedai oleh seorang lelaki selepas mendapati pintu kedai jenis 'roller shutter' dirosakkan selain terdapat kesan umpil ketika mahu membuka pintu kedai sekitar 7.30 pagi Isnin lalu.

"Hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lelaki terbabit di pintu masuk sebuah pusat beli-belah kira-kira jam 9 pagi hari sama," katanya ketika sidang media selepas Sambutan Hari Polis ke 214 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Haris menyatakan modus operandi geng itu mensasarkan premis perniagaan samaada restoran, kedai runcit dan kedai perkakasan.

"Premis yang menjadi sasaran akan dipecah masuk dengan mengumpil serta mematahkan kunci pintu jenis 'roller shutter' menggunakan pemutar skru yang diubahsuai.

"Kumpulan ini dikesan mula aktif melakukan kegiatan jenayah pecah masuk dan curi sekitar awal Januari tahun ini.

"Setiap hasil curi dipercayai digunakan suspek untuk bersuka ria termasuklah menginap di hotel sekitar bandar raya Kota Kinabalu," katanya.

Tambah beliau suspek direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah masuk dan curi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 3:20 PM