Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. FOTO DANIAL SAAD
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan negeri Kedah sekiranya Kedah melaksanakan projek yang boleh mengancam bekalan air di negeri ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga akan mengusulkan bantahan rasmi kepada Kerajaan Persekutuan untuk dibahaskan di Parlimen berhubung projek yang dilaksanakan oleh Kedah.

"Sejak 1973, Pulau Pinang secara sah mengabstrak air mentah dari Sungai Muda tanpa membayar kepada Kedah kerana tidak ada alasan perundangan bagi pembayaran berkenaan bahkan negeri ini juga tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian, perjanjian persefahaman (MoU) atau kontrak untuk membayar kepada Kedah.

"Sekiranya Menteri Besar Kedah (Muhammad Sanusi Md Nor) berpendapat, beliau sewenang-wenangnya dapat melaksanakan projek di Kedah yang secara langsung mengancam bekalan air di Pulau Pinang, beliau silap," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihaknya akan bertindak untuk menghentikan serta-merta sebarang projek dilaksanakan Kedah sekiranya ia memberi kesan buruk kepada Pulau Pinang.

"Bahkan kita juga mungkin akan saman beliau (Muhammad Sanusi) atas kos dan kerosakan sekiranya projeknya menimbulkan penderitaan bagi penduduk Pulau Pinang dan kerugian kepada perniagaan yang beroperasi di negeri ini," katanya.

Semalam, kerajaan negeri Kedah mengumumkan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang akan menakung air di beberapa kawasan di Sungai Muda yang berkemungkinan boleh menyebabkan bahagian selatan sungai kering dan menjejaskan Pulau Pinang.

Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, projek TAPS akan memastikan Kedah mempunyai bekalan air mencukupi sepanjang musim kemarau kerana ia akan menstabilkan permukaan air Sungai Muda.

Kon Yeow berkata, mana-mana projek 'baharu' Sungai Muda, Kedah di hulu muka sauk Lahar Tiang, Pulau Pinang mesti mematuhi semua undang-undang yang berkaitan.

"Projek sedemikian tidak boleh memberi kesan buruk atau menjejaskan perkhidmatan bekalan air kepada 1.776 juta orang di Pulau Pinang.

"Semua skim berkaitan air yang dicadangkan Menteri Besar Kedah juga tertakluk kepada kelulusan oleh Kerajaan Persekutuan.

"Berkemungkinan Kedah juga mungkin memerlukan dana Persekutuan dalam bentuk pinjaman atau geran untuk menjalankan projek berkaitan air. Oleh itu, Menteri Besar Kedah boleh mencadangkan tetapi Kerajaan Persekutuan dan undang-undang negara boleh melupuskannya," katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan terus menegakkan hak riparian Pulau Pinang untuk mengabstrak air mentah tanpa caj dari sungai yang mengalir melalui wilayah negeri ini.

"Kita yakin Kedah tidak mempunyai hak daripada sudut perundangan untuk menuntut apa-apa pembayaran. Inilah sebabnya mengapa kita bersedia untuk berjumpa mereka di mahkamah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 2:54 PM